Wednesday 14 September 2011

Kembar Siam tertua akan sambut hari jadi ke-50


PASANGAN kembar Siam berlainan jantina, George (kanan) dan Lori Schappell.



PHILADELPHIA, Amerika Syarikat (AS) - Pasangan kembar Siam tertua di dunia, George dan Lori Schappell akan menyambut hari jadi mereka yang ke-50 sekali gus mengetepikan ramalan doktor bahawa mereka tidak akan dapat hidup lama, lapor sebuah akhbar semalam.
Kembar Siam perempuan itu yang bercantum di kepala, menyambut ulang tahun kelahiran mereka pada Ahad ini dengan melancong ke London, Britain.
Walaupun berkongsi kepala, mereka menjalani kehidupan yang berbeza dengan Lori pernah bercinta manakala George pula memutuskan untuk hidup sebagai lelaki.
Lori juga merupakan seorang juara sukan boling manakala George mencari nafkah dengan berkecimpung sebagai penyanyi irama Country.
"Semasa kami lahir, doktor-doktor meramalkan kami tidak akan dapat hidup sehingga berusia 30 tahun tetapi kami membuktikan mereka telah silap," kata Lori.
Berketinggian 1.54 meter, Lori dilahirkan dengan tubuh badan sempurna tetapi George yang memiliki ketinggian cuma 1.3 meter, sukar bergerak kerana mengalami masalah saraf tunjang.
Disebabkan George lumpuh, dia terpaksa duduk di sebuah kerusi roda khas yang ditolak oleh Lori untuk memudahkan mereka bergerak.
"Ramai orang tidak percayakan kami tetapi kami hidup secara normal seperti orang lain," ujar George.
"Kami melancong, mengemas flat kami, malah, Lori pernah mempunyai teman lelaki. Tiada yang dapat menghalang kami daripada melakukan perkara yang kami mahu," tambahnya.
Kata George lagi, Lori hilang dara semasa dia berusia 23 tahun setelah berasmara dengan teman lelakinya yang kedua. - Agensi

Pengantin pegang senjata dalam majlis perkahwinan di Tripoli


PENGANTIN lelaki dan wanita memakai senjata api dalam majlis perkahwinan mereka di sebuah hotel di Tripoli, Libya pada Ahad lalu.



TRIPOLI - Kebanyakan pasangan pengantin memilih untuk mengenakan aksesori mewah seperti tali leher atau kafling perkahwinan untuk meraikan hari istimewa itu.
Bagaimanapun, situasi itu tidak menjadi keutamaan bagi salah seorang bakal suami kerana dia memilih untuk bergaya dengan membawa senjata perang pada hari tersebut pada Ahad lepas.
Pasangan itu bergaya dengan memegang senjata api dalam majlis perkahwinan mereka di salah sebuah hotel di Tripoli. Mereka memegang senjata perang itu sepanjang berlangsungnya majlis tersebut.
Pengantin perempuan memutuskan untuk memakai pakaian tradisional iaitu gaun putih dengan kain yang menutupi wajahnya.
Peperangan di Libya yang bermula sejak Februari lalu masih belum berakhir walaupun para pemberontak telah berjaya menumbangkan rejim Muammar Gaddafi menjelang Hari Raya Aidilfitri lalu.
Para pemberontak itu kini memburu Gaddafi yang masih bersembunyi termasuk saki-baki para penyokongnya.
Libya kini ditadbir sebuah badan yang mewakili para pemberontak itu yang dikenali sebagai Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC). - Agensi

Tinggal di rumah sama selama 100 tahun



VIOLET STRUGNELL berdiri di luar kediamannya yang menjadi tempat tinggalnya selama 100 tahun di Portsmouth, Britain.


PORTSMOUTH, Britain - Seorang pesara wanita, Violet Strugnell telah tinggal di sebuah rumah yang sama di Jalan Sheffield di sini selama 100 tahun, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Portsmouth yang merupakan sebuah bandar pelabuhan di selatan Britain, kerap dibom pesawat-pesawat perang Jerman semasa Perang Dunia Kedua tetapi kediamannya terselamat dan ia masih mengekalkan reka bentuk asalnya sehingga kini.
Dia pernah bersembunyi di dalam bilik bawah tanah semasa jet-jet tentera Nazi dari Jerman melancarkan serangan bom semasa Perang Dunia Kedua.

GAMBAR bertarikh 1927 menunjukkan Violet Strugnell membonceng motosikal saudara lelakinya di luar kediamannya itu.


Warga emas itu yang berusia 100 tahun pada minggu lalu, berpindah ke rumah tiga bilik tidur selepas ia siap dibina pada tahun 1911.
"Saya seperti tidak percaya sudah tinggal di rumah ini sejak sekian lama. Rumah ini tidak akan dijual sebaliknya, ia akan diwariskan kepada keluarga saya," kata Strugnell.
Menurutnya, dia mewarisi rumah tersebut daripada ibu bapanya, Emma dan Vernon yang membeli kediaman berkenaan pada harga £175 (RM483.85) pada masa itu.
Ia kini bernilai £150,000 (RM725,927). - Agensi

Jepun ada 47,756 rakyat berusia 100 tahun ke atas



TOKYO - Jepun mempunyai 47,756 rakyat yang berusia 100 tahun ke atas, kebanyakannya adalah wanita.
Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan semalam menyatakan bahawa ia merupakan peningkatan sebanyak 3,307 orang berbanding setahun lalu.
Sebanyak 87.1 peratus daripada mereka adalah wanita.
Rakyat yang paling tua ialah Chiyono Hasegawa yang berusia 114 tahun.
Dia dilahirkan pada 20 November 1896.
Kewibawaan statistik itu pernah dipersoalkan pada tahun lalu apabila beberapa orang yang disenaraikan dalam senarai tersebut telah mati dan hilang.
Pihak kementerian bergantung kepada rekod pendaftaran penduduk untuk membuat statistik itu.
Jepun merupakan salah sebuah negara yang mempunyai ramai masyarakat tua. -