Tuesday 13 September 2011

orang jepun jujur


TOKYO – Beberapa penduduk Jepun menyerahkan kepada pihak berkuasa wang tunai yang ditemui mereka berjumlah £50 juta (RM246.41 juta), lapor sebuah akhbar semalam.
Wang itu ditemui oleh beberapa penduduk selepas gempa bumi dan tsunami melanda timur laut negara itu pada 11 Mac lalu.
Sifat jujur rakyat Jepun itu didedahkan oleh media Britain.
Sebelum ini sejumlah golongan muda didakwa di mahkamah-mahkamah di Britain ekoran kes kecurian yang berleluasa semasa beberapa bandar utama di negara itu dilanda rusuhan baru- baru ini.
Lebih 5,700 peti simpanan yang terdampar di pesisiran pantai telah diserahkan ke balai-balai polis oleh sukarelawan dan petugas penyelamat.
Di dalam peti-peti berkenaan, polis menemui sekitar £20 juta (RM98.49 juta) dalam bentuk wang tunai.
Polis juga menemui wang tunai berjumlah £600,000 (RM2.95 juta) dalam sebuah peti simpanan tersebut.
Menurut polis, hampir semua wang tunai yang ditemui di kawasan-kawasan yang paling teruk terjejas akibat tsunami itu telah dipulangkan kepada pemilknya.
Ramai yang menyimpan buku akaun dan dokumen hak tanah bersama nama serta alamat mereka dalam peti simpanan tersebut. – Agensi

SMS palsu punca Islam, Kristian bergaduh


PENDUDUK membakar kereta ketika penduduk Muslim dan Kristian bergaduh di Ambon, kelmarin.
PENDUDUK membakar kereta ketika penduduk Muslim dan Kristian bergaduh di Ambon, kelmarin.
JAKARTA: Penyebaran mesej pesanan ringkas (SMS) palsu menjadi punca pertempuran di Ambon antara penduduk Islam dan Kristian menyebabkan tiga orang maut dan 89 cedera selain memaksa 400 anggota keselamatan dikerah berkawal di bandar itu. 

Pergaduhan itu dilaporkan meletus di ibu kota Maluku, kelmarin selepas SMS menyatakan seorang pemandu teksi Muslim diserang dan dibunuh penduduk Kristian.
Satu kumpulan dipercayai turut disertai anggota keluarga pemandu teksi itu bersenjatakan parang dan batu terbabit dalam pergaduhan.
Jurucakap polis kebangsaan, Anton Bachrul Alam, berkata pihak yang menyebarkan SMS palsu itu sudah diketahui tetapi tangkapan belum dibuat. 

“Kami gesa penduduk Ambon tidak menyebarkan SMS yang boleh mencetuskan masalah,” katanya. 

Anton berkata, rusuhan tercetus selepas kemalangan jalan raya membabitkan seorang pemandu teksi. 

SMS palsu itu menyatakan, seorang pemandu teksi, Darmin Saiman, diserang dan dibunuh. Pergaduhan meletus selepas dia dikebumikan. – Agensi

Restoran guna sos ada DNA babi


SALAH sebuah restoran makanan yang disamak oleh JHEAINS selepas didapati menggunakan sos yang mengandungi DNA babi di Seremban.



SEREMBAN – Sebanyak 15 premis makanan termasuk restoran makanan segera popular dan berstatus halal di negeri ini serta beberapa negeri lain dikesan menggunakan sos serta beberapa bahan yang disahkan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.
Perkara tersebut terbongkar selepas pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melakukan pemeriksaan mengejut di premis berkenaan pada bulan lalu.
Hasil pemeriksaan tersebut mendapati, premis terbabit masih menggunakan produk HP Sauce dan Tabasco Pepper Sauce yang disahkan mengandungi DNA babi oleh Jakim.
PRODUK sos HP dan Tabasco Pepper yang didapati mengandungi DNA babi.


Seorang jurucakap JHEAINS berkata, susulan itu semua premis makanan tersebut termasuk semua peralatan yang digunakan premis berkenaan terpaksa menjalani proses samak.
Katanya, premis berkenaan yang termasuk beberapa buah restoran, kedai kek dan restoran makanan segera telah disamak sebagai syarat untuk mereka memperoleh sijil halal.
“Kita melakukan pemeriksaan di premis-premis berkenaan selepas pihak Jakim mengesahkan bahawa dua sos berkenaan dan satu serbuk penaik jenama Puratos mengandungi DNA babi,” katanya di sini semalam.
Menurut jurucakap itu, ketika pemeriksaan, pemilik premis berkenaan mendakwa mereka tidak tahu bahawa produk yang digunakan oleh mereka mengandungi DNA babi.

Saintis hasilkan kucing bersinar



NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Sekumpulan saintis AS menghasilkan seekor kucing yang bersinar-sinar dalam kajian mereka untuk menangani penyakit virus Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS)
Apabila kucing itu diletakkan di bawah cahaya biru, bulu, misai dan kuku kaki haiwan berkenaan kelihatan bersinar dengan warna hijau..
Kumpulan penyelidik berkenaan menggunakan gen yang mengeluarkan kilauan untuk menandakan kehadiran sejenis protein yang dimasukkan ke dalam telur haiwan tersebut.
Protein itu diambil daripada monyet Macaque.
Kajian itu disiarkan kelmarin dalam jurnal Nature Methods yang menyatakan gen monyet tersebut dimasukkan ke dalam telur kucing.
Saintis-saintis juga memasukkan gen obor-obor yang menyebabkan sel-sel kucing menjadi berkilauan.
Ujian ke atas sel-sel yang diambil dari kucing itu menunjukkan ia mampu menangani virus yang menyebabkan AIDS ke atas kucing.

Bina jambatan dengan akar pokok




DUA buah jambatan akar yang terdapat di kampung Nongriat, negeri Meghalaya, India.


NEW DELHI - Penduduk sebuah kampung di negeri Meghalaya, India membina sebuah jambatan dengan menggunakan akar pokok. Jambatan semula jadi itu berusia beratus-ratus tahun dan ia mampu untuk menampung berat 50 orang pada satu-satu masa. Ia dibina menerusi sistem mengalihkan akar pokok yang dilakukan oleh penduduk kampung tersebut sejak ratusan tahun lalu. Akar itu diajar supaya ia bergerak menyeberangi sungai. - Agensi