Tuesday, 13 September 2011

orang jepun jujur


TOKYO – Beberapa penduduk Jepun menyerahkan kepada pihak berkuasa wang tunai yang ditemui mereka berjumlah £50 juta (RM246.41 juta), lapor sebuah akhbar semalam.
Wang itu ditemui oleh beberapa penduduk selepas gempa bumi dan tsunami melanda timur laut negara itu pada 11 Mac lalu.
Sifat jujur rakyat Jepun itu didedahkan oleh media Britain.
Sebelum ini sejumlah golongan muda didakwa di mahkamah-mahkamah di Britain ekoran kes kecurian yang berleluasa semasa beberapa bandar utama di negara itu dilanda rusuhan baru- baru ini.
Lebih 5,700 peti simpanan yang terdampar di pesisiran pantai telah diserahkan ke balai-balai polis oleh sukarelawan dan petugas penyelamat.
Di dalam peti-peti berkenaan, polis menemui sekitar £20 juta (RM98.49 juta) dalam bentuk wang tunai.
Polis juga menemui wang tunai berjumlah £600,000 (RM2.95 juta) dalam sebuah peti simpanan tersebut.
Menurut polis, hampir semua wang tunai yang ditemui di kawasan-kawasan yang paling teruk terjejas akibat tsunami itu telah dipulangkan kepada pemilknya.
Ramai yang menyimpan buku akaun dan dokumen hak tanah bersama nama serta alamat mereka dalam peti simpanan tersebut. – Agensi

SMS palsu punca Islam, Kristian bergaduh


PENDUDUK membakar kereta ketika penduduk Muslim dan Kristian bergaduh di Ambon, kelmarin.
PENDUDUK membakar kereta ketika penduduk Muslim dan Kristian bergaduh di Ambon, kelmarin.
JAKARTA: Penyebaran mesej pesanan ringkas (SMS) palsu menjadi punca pertempuran di Ambon antara penduduk Islam dan Kristian menyebabkan tiga orang maut dan 89 cedera selain memaksa 400 anggota keselamatan dikerah berkawal di bandar itu. 

Pergaduhan itu dilaporkan meletus di ibu kota Maluku, kelmarin selepas SMS menyatakan seorang pemandu teksi Muslim diserang dan dibunuh penduduk Kristian.
Satu kumpulan dipercayai turut disertai anggota keluarga pemandu teksi itu bersenjatakan parang dan batu terbabit dalam pergaduhan.
Jurucakap polis kebangsaan, Anton Bachrul Alam, berkata pihak yang menyebarkan SMS palsu itu sudah diketahui tetapi tangkapan belum dibuat. 

“Kami gesa penduduk Ambon tidak menyebarkan SMS yang boleh mencetuskan masalah,” katanya. 

Anton berkata, rusuhan tercetus selepas kemalangan jalan raya membabitkan seorang pemandu teksi. 

SMS palsu itu menyatakan, seorang pemandu teksi, Darmin Saiman, diserang dan dibunuh. Pergaduhan meletus selepas dia dikebumikan. – Agensi

Restoran guna sos ada DNA babi


SALAH sebuah restoran makanan yang disamak oleh JHEAINS selepas didapati menggunakan sos yang mengandungi DNA babi di Seremban.



SEREMBAN – Sebanyak 15 premis makanan termasuk restoran makanan segera popular dan berstatus halal di negeri ini serta beberapa negeri lain dikesan menggunakan sos serta beberapa bahan yang disahkan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.
Perkara tersebut terbongkar selepas pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melakukan pemeriksaan mengejut di premis berkenaan pada bulan lalu.
Hasil pemeriksaan tersebut mendapati, premis terbabit masih menggunakan produk HP Sauce dan Tabasco Pepper Sauce yang disahkan mengandungi DNA babi oleh Jakim.
PRODUK sos HP dan Tabasco Pepper yang didapati mengandungi DNA babi.


Seorang jurucakap JHEAINS berkata, susulan itu semua premis makanan tersebut termasuk semua peralatan yang digunakan premis berkenaan terpaksa menjalani proses samak.
Katanya, premis berkenaan yang termasuk beberapa buah restoran, kedai kek dan restoran makanan segera telah disamak sebagai syarat untuk mereka memperoleh sijil halal.
“Kita melakukan pemeriksaan di premis-premis berkenaan selepas pihak Jakim mengesahkan bahawa dua sos berkenaan dan satu serbuk penaik jenama Puratos mengandungi DNA babi,” katanya di sini semalam.
Menurut jurucakap itu, ketika pemeriksaan, pemilik premis berkenaan mendakwa mereka tidak tahu bahawa produk yang digunakan oleh mereka mengandungi DNA babi.

Saintis hasilkan kucing bersinar



NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Sekumpulan saintis AS menghasilkan seekor kucing yang bersinar-sinar dalam kajian mereka untuk menangani penyakit virus Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS)
Apabila kucing itu diletakkan di bawah cahaya biru, bulu, misai dan kuku kaki haiwan berkenaan kelihatan bersinar dengan warna hijau..
Kumpulan penyelidik berkenaan menggunakan gen yang mengeluarkan kilauan untuk menandakan kehadiran sejenis protein yang dimasukkan ke dalam telur haiwan tersebut.
Protein itu diambil daripada monyet Macaque.
Kajian itu disiarkan kelmarin dalam jurnal Nature Methods yang menyatakan gen monyet tersebut dimasukkan ke dalam telur kucing.
Saintis-saintis juga memasukkan gen obor-obor yang menyebabkan sel-sel kucing menjadi berkilauan.
Ujian ke atas sel-sel yang diambil dari kucing itu menunjukkan ia mampu menangani virus yang menyebabkan AIDS ke atas kucing.

Bina jambatan dengan akar pokok




DUA buah jambatan akar yang terdapat di kampung Nongriat, negeri Meghalaya, India.


NEW DELHI - Penduduk sebuah kampung di negeri Meghalaya, India membina sebuah jambatan dengan menggunakan akar pokok. Jambatan semula jadi itu berusia beratus-ratus tahun dan ia mampu untuk menampung berat 50 orang pada satu-satu masa. Ia dibina menerusi sistem mengalihkan akar pokok yang dilakukan oleh penduduk kampung tersebut sejak ratusan tahun lalu. Akar itu diajar supaya ia bergerak menyeberangi sungai. - Agensi

Monday, 22 August 2011

kurma tiruan


PERBEZAAN kurma tiruan (kiri) dan kurma asli yang kelihatan segar.



GEORGE TOWN – Permintaan tinggi buah kurma semasa bulan Ramadan menyaksikan ada segelintir peniaga mengambil kesempatan dengan menjual buah kurma yang dicampur dengan bahan pemanis.
Kebiasaannya, cara ini diamalkan oleh peniaga yang menjual buah kurma secara pukal atau timbang dengan harga yang lebih rendah.
Difahamkan, peniaga atau pemborong ini mengimport buah kurma yang berkualiti rendah secara pukal sebelum diproses bagi membolehkan buah kurma ini dijual semula.
Kosmo! diberitahu, buah-buah kurma ini digaul dengan gula merah dan disimpan beberapa lama untuk sebati sebelum dicampur semula dengan buah kurma kualiti sederhana.
“Hasilnya, buah kurma kualiti rendah ini akan terasa manis seperti kurma sebenar (buah kurma yang berkualiti baik) tapi sebenarnya ia telah dicampur gula merah.
“Buah kurma jenis ini dijual secara timbang dan banyak dijual di kedai-kedai runcit atau gerai kaki lima sepanjang Ramadan,” ujar sumber yang memberitahu pernah mempraktikkan kaedah tersebut

Saturday, 13 August 2011

Chef lelaki mangsa cerai

Isteri marah anak lebih suka masakan bapa untuk bersahur bulan puasa 

KAHERAH: Seorang wanita Mesir mengemukakan permohonan cerai atas alasan bahawa kemahiran memasak suaminya lebih hebat berbanding dirinya sendiri, lapor akhbar Al-Masry Al-Youm.

Media tempatan melaporkan, tragedi perceraian pasangan berkenaan, Mohammed Said dan isterinya, Nahal, berlaku pada awal Ramadan.
Mohammed Said adalah seorang tukang masak di sebuah hotel lima bintang di Kaherah, ibu kota Mesir. Beliau dikatakan mengejutkan keluarganya dengan kemahiran memasak apabila mengambil alih tugas dapur daripada isterinya ketika permulaan Ramadan kali ini. 

Atas sebab itu, Nahal memutuskan untuk bercerai dengan suaminya, lebih-lebih lagi selepas dua anak lelakinya mahukan bapa untuk mengambil alih tugas memasak sahur bagi hidangan keluarga. 

Menurut akhbar Al-Masry Al-Youm, Nahal berasa malu apabila anaknya menganggap dia sebagai seorang tukang masak yang teruk. 

Tidak lama selepas itu, Nahal mengambil keputusan ke mahkamah bagi memohon cerai Khula kerana berasakan dia bukan isteri baik. 
Khula adalah satu fasal berdasarkan undang-undang Islam merujuk kepada hak bagi seseorang wanita untuk mendapatkan perceraian dan menerima nafkah. 

Apabila suaminya dimaklumkan mengenai saman berkenaan, dia menegaskan dirinya tetap mencintai Nahal dan anak serta sekadar mahu membantu isteri apabila pulang ke rumah dari tempat kerja meskipun dalam keadaan letih. 

Bagaimanapun, Nahal yang dikahwininya selama 10 tahun berkata di hadapan pegawai Biro Penyelesaian Pertikaian Keluarga bahawa beliau mahu mengambil alih tugas memasak bagi membolehkan suaminya menumpukan perhatian kepada ibadat sepanjang Ramadan ini. – Agensi